Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut
kedatangan tetamu tetapku."Assalamualaikum", seru Subuh.
"Wa'alaikumsalam", sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta
kasih sayang. Kutanya
khabar Subuh, bagaimana keadaannya
mengembara dari satu tempat ke satu tempat. "Tadi..", kata Subuh dengan
sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat
persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada
mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan.
"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh
rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat
sesuatu. "Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik
sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan,
menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan
yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi
jarang kujumpa.Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta
leka".
Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami
maksud Subuh. "Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku
tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai.Tapi aku ada Roti
siyam (puasa)", cadangku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat.
"Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh. "Adakah kau mahu manisan
Zikir?" rayuku pada Subuh."Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan
aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh. Aku agak sugul, bagaimana
harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir
kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?Namun, aku tetap
menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan
Mata Air tersebut. Aku
terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik di
dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi
kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan
manisan yang dipintanya.Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun
melirikkan sebuah senyuman.
"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau
tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian.Akan
kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi
menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. "Aku perlu menziarahi
ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati
rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".Dan aku akur dengan
penjelasan Subuh. "Subuh",..seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk
pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?" "InsyaAllah", jawab
Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"Subuh berangkat dengan
lambat tetapi tetap.
"Assalamualaikum", seru
Subuh."Waalaikumsalam", jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah
Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh
hilang dari pandangan.
P/S: Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak? Jawapannya, tersirat dalam diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan